web stats

Erti Ujian Allah

Aku cuma seorang gadis biasa. Perwatakan, pemakaian aku, belum cukup sempurna sebagai seorang muslimah sejati. Tapi Allah itu Maha Penyayang, tidak dibiarkan seorang yang seperti aku untuk terus hanyut dan lalai melupakanNya.
Aku bukanlah tidak solat, cuma terkadang lalai. Aku bukan tidak puasa, cuma mulut masih rancak mengumpat. Aku beragama Islam tapi aku sedar, Islam ku belum cukup sempurna seadanya.
Aku pernah punya kekasih hati. Seorang yang baik, yang banyak mengubah aku. Seorang yang aku selalu bayangkan bakal menjadi imam setiap solatku. Tapi kasih terhenti atas sebab yang tidak diingini. Aku rasa rebah seketika. Aku tiada tempat mengadu kerana aku tinggal sendirian. Selera makanku putus. Mengukir senyuman terasa mustahil. Aku habiskan masa depan komputer riba usangku. Mencari doa terbaik untuk menenangkan jiwa.
Suatu hari, aku terjumpa Al-Insyirah. Bait-bait dalam Al-Insyirah cukup menekan kalbuku. Aku terpesona. Aku teliti dan hayati maksud ayat surah itu. Lalu ku baca satu persatu.
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Peyayang…
1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya Dengan iman dan hidayah petunjuk)?
2. Dan Kami telah meringankan bebanmu daripadamu:(menyiarkan Islam) -
3. Yang memberati tanggunganmu,
4. Dan Kami tinggikan sebutan (nama)mu bagimu.                                                                                                                       
5. Maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,                  
6. Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7. Maka apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain),
8. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini).”
Setiap kali usai solat, surah Al-Insyirah akan ku baca. Setiap kali jantung terasa berat, hati terasa sarat. Aku ulangi lagi Al-Insyirah. Setiap hari komputer riba aku tatapi, mencari sesuatu yang bisa untuk ku hilangkan segala resah di hati.
Dan akhirnya aku tersedar, segala bebanan yang aku tanggung, segala ujian ini sebenarnya tanda kasih Allah pada aku. Allah rindukan rintihan aku. Aku tahu, Allah mahu mengajar aku erti sebenar ujian-Nya.
Dari situ, satu persatu aku temui. Semua bermula dari komputer riba usang ku. Tiada pentingnya cinta manusia jika Allah tidak kita letakkan pada nombor satu. Namun, aku cuma insan lemah. Sering juga aku rasa kalah, aku rasa resah. Aku masih cuba membaiki diri, setapak demi setapak. Aku masih lagi aku yang dulu, cuma aku harapkan rohani aku sedang dalam proses pemulihan dan pembersihan.
Alhamdulillah, Allah sedarkan aku dengan menghantar ujian buat aku. Allah tinggalkan aku sendirian jauh dari manusia yang lain, supaya aku dekati-Nya, supaya aku dapat luahkan semua padaNya. Allah hantar ujian buat aku supaya aku sedar bahawa Dia adalah penguasa diriku, supaya aku sedar bahawa hati aku adalah milikNya. Jika gembira hati ini, semua datang dariNya, jika berat hati ini, kepada dia jugalah tempat aku mengadu untuk hilangkan resah.
Dalam hadith qudsi Allah berfirman:-
“Pergilah pada hambaku lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya” 
(Hadis Riwayat Tabrani dari Abu Umamah)
Bukan mudah untuk memahami sepotong ayat ini. Aku bersyukur kerana aku di antara hambaNya yang terpilih untuk diberi ujian. Dari ujian ini lah aku mencuba untuk memperbaiki diri. Kerana aku tak mahu aku hanya mencariNya di kala aku kesusahan.
Aku mahu aku sentiasa merindui tuhanku. Aku mahu setiap gembira ku dimulai dengan Alhamdulillah supaya setiap kesusahan ku dapat aku luahkan padaNya tanpa rasa malu.
Semoga Allah sentiasa membantu aku untuk memperbaiki diriku.

Bicara Tentang Hati

“Ummu, kau pernah suka seseorang tak?’’ temanku bertanya.
Teralih perhatianku untuk menikmati keindahan alam.
“Adalah jugak. Tapi dah lama, dah hilang dah pun perasaan itu. Kadang-kadang memang terasa macam ada sesuatu dalam hati; tapi perasaan tu juga buat aku rasa tak sedap hati at the same time. Bila macamtu, aku doa je kat Allah. So, sebenarnya, aku pun tak pastu aku pernah suka lelaki ke tak. Hehehe”
“Kau doa macamana?”
Ya Allah, kau tahu perasaanku terhadapnya kerana Kau Maha Mengetahui, jika memang sudah tertakdir jodohku dengannya, Kau peliharalah rasa sukaku terhadapnya sebaliknya jika aku memang tidak tertulis untuknya, Kau hilangkan rasa sukaku terhadapnya. Kerna Kaulah yang sebaik-baik perancang.
Hanya itu yang mampu ku jawap. Mahu menghilangkan rasa gusar di jiwa temanku. Tersenyum dia mendengar jawapanku.
“Nasib baik kau ada, kalau tak mesti aku dah terlanjur jual cinta aku untuk yang tak sepatutnya.”
Yang Dinamakan Hati
Memendam perasaan itu dinamakan jihad. Kerana kita sedang memperjuangkan diri kita daripada terjebak dengan dosa. Andai seseorang meluahkan perasaannya terhadap kita dan kemudian kita menerima perasaannya, mengikat sebuah hubungan haram, membuka hati kita untuk menerima cinta kepada yang tak sepatutnya. Samalah, seperti balang gula-gula yang telah terbuka dari penutupnya.
Dan ketika sedang menjalin hubungan tanpa ikatan dengannya, kita sibuk menzahirkan cinta, meluahkan sayang kepadanya, kerana ketika itu, hidup kita hanya untuk membahagiakannya. Ini diibaratkan seperti gula-gula yang terdapat dalam balang itu telah diberikan kepada dia.
Lalu, akhirnya dia pergi meninggalkan kita setelah puas mempermainkan kita yang leka dalam cinta. Balang gula-gula itupun yang sudah terbuka penutupnya, hanya tingal sedikit sisa-sisa, beberapa gula-gula. Dan hati kita itu, hanya  balang gula-gula yang tinggal sedikit isinya. Adakah hati itu yang bakal kita persembahkan kepada seorang Adam yang bergelar suami, halal keatas kita, dan bakal menghabiskan masanya bersama kita?
Si suami bakal mendapat cinta secondhand. Tidakkah kita merasa malu untuk berdepan dengannya, kerana hati ini pernah menjadi kepunyaan orang lain?
Suka pada seseorang. Itu namanya fitrah. Kerana itulah, berada di alam remaja, merupakan alam yang paling mencabar.
Ada sesetengah manusia, menjadikan cinta sebagai media pemuasan hawa nafsu. Inilah yang berlaku pada akhir zaman sekarang. Kes buang bayi, mengandung anak luar nikah, semakin banyak terjadi. Inilah umat akhir zaman.

Tidak malukah kita? Disamakan dengan haiwan?
Muhasabah diri. Suka seseorang, pendamkan sahaja. Fikir dahulu,tidakkah kita berasa malu? Mencintai seseorang, tanpa terlebih dahulu mencintai Dia. Bagaimana kita, mahu mengetahui tanda-tanda kita mencintai Allah?
Tanda-tanda Mencintai Allah
Kalau cinta, rindu untuk bertemu.
Bagaimana sikap kita sewaktu hendak berjanji temu (solat) dengan Allah?
Kalau cinta, suka apabila disuruh.
Bagaimana sikap kita  sewaktu diperintah menutup aurat, menjauhi zina dan lain-lain?
Tidak malukah kita? Mencintai hambaNya terlebih dahulu tanpa mencintai Dia?
Andainya kita risau, orang yang kita sukai bakal jatuh ke tangan orang lain, ingatlah kita ini siapa. Orang yang disukai itu bukan milik kita sebaliknya milikNya. Layakkah kita merisaukannya. Ingatlah, jodoh itu ketentuan Tuhan, kita hamba tidak perlu bersusah payah memikirkannya.
Apa guna bercouple? Sedangkan dia yang kita sukai itu belum tentu lagi jodoh kita. Elakkan. Kerana ia selangkah menuju kepada perbuatan zina. Dan Allah sendiri telah berfirman:

Cinta selepas kahwin itu indah. Kerana apa yang haram untuk dibuat, halal untuk kita lakukan terhadapnya. Simpan diri untuk yang halal. Bila hati diuji kerana fitrah, peganglah pada prinsip: ‘hati itu ibarat balang gula-gula.’
Wanita, peliharalah cintamu untuk yang halal. Memendam itu berjihad. Tidak perlu bercouple untuk melampias fitrah. Kita wanita, senang menuju ke syurgaNya.


Aurat Lelaki Yang Jarang Dibincangkan


Aurat lelaki seperti yang dinyatakan sebelum ini agak longgar kerana selain waktu bersendiri dan bersama isteri, aurat lelaki hanya antara pusat dan lutut sahaja. Maknanya kalau seseorang itu hendak melakukan solat, auratnya ialah cukup antara pusat dengan lutut, begitu juga kalau dia berada di khalayak ramai.

Berdasarkan itu, ramailah orang lelaki mengambil mudah dengan menyatakan harus kita berada dalam sesuatu majlis dengan hanya memakai seluar pendek sampai ke paras lutut. Sebab itulah barangkali kita sering melihat orang lelaki suka memakai seluar pendek ketika membasuh kereta di luar rumah.


Benar, jika mengikut hukum asal tidak salah memakai seluar pendek yang sampai ke paras lutut kerana itulah sahaja aurat bagi lelaki. Tetapi jangan lupa bahawa hukum itu perlu juga mengambil kira waktu berjalan dan duduk. Apakah ketika itu aurat lelaki tersebut masih terpelihara?
Bayangkan seorang lelaki yang hanya memakai kain sarung yang menutup pusatnya dan lutut. Solatnya sah kerana aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara pusat dengan lutut. Tetapi bagaimana kalau dia rukuk, sujud, dan duduk antara dua sujud? Tidaklah lututnya ternampak? Sahkah solatnya ketika itu? Jawapannya ialah tidak sah.
Bagaimanapun pula kalau dia membasuh kereta dengan pakaian yang sama, sesekali dia akan tunduk juga. Adakah ketika itu tidak terbuka auratnya iaitu lutut? Kalaupun dia memakai seluar pendek yang labuh hingga ke paras lutut, waktu dia mencangkung akan ternampak lututnya. Tidak berdosakah dia ketika itu? Jawabnya tentu berdosa. Ya, kalau dalam solat tidak sah maka pada ketika waktu lain dia berdosa.
Bagi masyarakat kampung pula, mereka suka pakai kain pelakat yang digulung sampai ke paras lutut. Malah kadang-kadang ternampak pusatnya sewaktu terlondeh. Waktu berborak dengan kawan-kawan di serambi pasti tersingkap juga auratnya.
Bagaimana kalau dia melakukan solat dengan kain itu walaupun dilabuhkan di bawa lutut? Waktu rukuk dan sujud setidak-tidaknya akan ternampak pahanya oleh orang yang di belakangnya. Sahkah solatnya?
Begitu juga kalau si ayah memakai kain pelakat di dalam rumah bersama anak-anak, lalu pada waktu duduk terselak bahagian lututnya. Agaknya berdosa atau tidak ketika itu? Jawapannya sudah tentu berdosa kerana aurat ketika bersama mahram ialah antara pusat dengan lutut.
Kalau berdasarkan keterangan di atas adalah haram hukumnya, bagaimana keadaannya anak-anak muda yang suka memakai seluar pendek di dalam rumah, bersukan, main bola dan sebagainya? Seluar pendek yang dipakai mereka adalah di atas lutut, maka dalam keadaan itu dia bukan sahaja mendedahkan lututnya malah mendedahkan pahanya.
Nampaknya lelaki secara berleluasa mendedahkan aurat mereka tatkala bersukan. Apakah atas alasan bersukan aurat boleh didedahkan? Ya, kalau berhadapan dengan Allah sewaktu bersolat pun salah, betapa ketika berhadapan dengan orang ramai. Pada zaman ini, bukan sahaja orang yang dalam stadium yang melihatnya tetapi seluruh dunia melihatnya. Bayangkan berapa besar dosanya ketika itu.
Pakaian sukan tajaan Barat memang begitu. Hal ini kerana dalam teori sains, mereka yang memakai pakaian longgar dan menutup tubuh boleh melambatkan pergerakan. Tetapi teori itu ternyata tidak tepat apabila pelari pecut wanita Islam (dari Bahrain-kalau tak salah penulis) dapat mengalahkan pelari lain yang hanya sekadar memakai cawat dalam sukan bertaraf dunia baru-baru ini.
Selain itu, kalau benarlah teori itu, mengapa perlu pakaian itu diperkenalkan kepada pemain boling. Sukan itu tidak memerlukan pergerakan pantas.
Barat menipu kita dan kita hanya menurut sahaja tanpa mahu membantah. Kita akur dengan peraturan itu demi sukan padahal kita belum berani berbincang secara serius untuk mohon pengecualian bagi atlet Muslim.
Bayangkan sudah berapa lama umat Islam melakukan dosa mendedahkan aurat dalam bidang sukan. Jika dalam hal ini kita sudah berdosa dengan Allah, bagaimana usaha kita untuk membentuk perpaduan melalui sukan seperti yang sering diuar-uarkan. Mahukah Allah merestuinya?
Pada pandangan penulis, cara berpakaian dalam sukan itulah yang menjadi sebab mengapa kurang penyertaan orang Islam dalam sukan. Sebenarnya mereka masih berminat untuk bersukan tetapi mereka tiada pilihan untuk bersukan. Akhirnya sukan dikuasai oleh orang bukan Islam.
Dalam hal ini, alangkah baiknya bagi negeri-negeri yang di perintah oleh Pakatan Rakyat itu menjadi model menganjurkan sukan yang mempunyai konsep pakaian sukan Islam. Jika mereka berjaya, pasti dunia akan melihat dan lambat laun mereka akan mencontohinya.

Kasih Ilahi

Usai kerja untuk hari itu. Siti Khadijah menarik nafas lega. Dia masih baru di syarikat itu. Tatkala diterima berkerja di situ, dia segera mengucapkan syukur. Terasa masih baru meninggalkan syarikat itu setelah beberapa bulan selesai menjalani latihan industri di situ, kini dia melangkah kembali sebagai seorang pekerja pula. Ketika masih ramai rakan yang belum mempunyai pekerjaan, Siti Khadijah sudah mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajarinya. Dia sangat bersyukur di atas nikmat rezeki itu.
Setelah hampir sebulan di situ, Siti Khadijah disapa Zayid, salah seorang pekerja di pejabatnya. Siti Khadijah tidak pernah menyapa Zayid ketika menjalani latihan industri dahulu. Menurut rakan sekerjanya, Zayid belajar di dalam bidang yang sama seperti Siti Khadijah. Siti Khadijah hanya mendiamkan diri. Tidak pula dia berminat untuk bertanyakan lebih tentang hal itu.
Jam sudah menunjukkan 5.35 petang. Dia bergegas mengunci pintu pejabatnya dan menuju ke surau. Ahh..masih belum Asar. Langkah kaki dihayun sepanjang- panjangnya. Tidak dipedulikan keadaan manusia di sekelilingnya. Dia menekan butang lift. Di dalam fikirannya hanya membayangkan tingkat 5, destinasi yang ingin ditujuinya .
Setibanya di sana, dia segera berwuduk dan menunaikan solat. Siti Khadijah sentiasa mencuba sebaik mungkin untuk solat di awal waktu namun adakalanya terlewat juga. Mujurlah, majikannya seorang Muslim yang prihatin tentang solat. Senang rasanya hati Siti Khadijah untuk bekerja di situ.
Ketika ingin pulang ke rumah, Siti Khadijah berpapasan dengan sahabat lamanya semasa di universiti. Amnanamanya. Sejuk sungguh mata Siti Khadijah melihatkan penampilan Amna yang menutup aurat. Cantik sekali. Adakala tercetus perasaan iri melihat betapa tawaduknya Amna menutup aurat. Tidak seperti dirinya yang masih terkial- kial mengenakan pakaian yang labuh dan longgar .
Hanya sebentar perbualan mereka pada petang itu. Amna mengejar masa kerana dia ingin menghadiri program Usrah . Siti Khadijah termangu di situ sendirian.
Duhai diri.. betapa luasnya jurang antara dirimu dan Amna.
Dulu, Siti Khadijah biasa- biasa sahaja orangnya. Sekelumit pun dia tidak peduli tentang menutup aurat. Walaupun orangnya biasa- biasa sahaja namun dia sentiasa bertudung. Pernah ketika usianya belasan tahun dahulu dia ditegur emak apabila sepupu lelakinya bertandang ke rumah namun dia tidak menutup kepalanya dengan tudung. Rentetan itu, dia memandang berat keperluan untuk menutup kepala namun bahagian aurat yang lain masih juga terbuka. Siti Khadijah masih belum mengerti makna menutup aurat ketika itu.
Bertahun lamanya Siti Khadijah begitu. Seiring hari berlalu, dia melihat terlalu ramai kenalan di sekelilingnya mulai berubah mendekati Allah.  Dia terdetik ingin tahu. Hati Siti Khadijah sendiri terasa terlalu jauh daripada ketenangan sebenar. Meskipun agamanya Islam namun Siti Khadijah bukan seorang muslim yang patuh sepenuhnya kepada perintah Allah SWT. Masih terlalu banyak kekurangan pada dirinya yang mesti diperbaiki. Baginya, memenuhi amalan wajib seperti berpuasa, dan solat sudah mencukupi. Itu sudah membuatkan dirinya layak bergelar seorang Islam.
Bahkan tidak.. Siti Khadijah masih terlalu dangkal di dalam beragama. Dirinya masih terlalu jauh daripada mengecapi manisnya iman.
Siti Khadijah sentiasa berimpian untuk  menjadi seperti Amna. Baginya, Amna sempurna dalam beragama. Pernah disuarakan perasaan irinya melihatkan tawaduknya Amna menjaga batas-batas syariat namun Amna hanya tertawa kecil mendengarkan itu.
“Manusia hanya dibezakan dengan taqwa kepada Allah SWT. Amna pun tak sempurna, apa yang Khadijah nampak hanya dari satu sisi diri Amna je. Amna pun masih berusaha untuk membaiki diri. Sejujurnya Amna kagum dengan Khadijah. Khadijah sangat istiqamah dan tabah. Amna tahu, saat Khadijah buat keputusan nak berhijrah dulu, keputusan tu tak mudah. Namun, Amna bersyukur  tengok Khadijah sekarang. Sepatutnya Amna yang iri dengan Khadijah tau, bukan Khadijah iri dengan Amna .”

Hatinya dihambat rasa sebak dek kata-kata Amna. Terasa malu menaruh rasa iri kepada Amna. Siti Khadijah tunduk meneleku lantai. Dia cuba untuk menahan air matanya daripada gugur. Sungguh kata-kata Amna ada kebenarannya. Tidak mudah keadaannya apabila dia membuat keputusan untuk berhijrah dahulu. Mujahadahnya pahit namun segalanya berbaloi kini. Siti Khadijah sangat merasai nikmat kemanisan setelah berhijrah.
Siti Khadijah masih teringatkan ejekan rakannya tika dia mula menjinakkan diri dengan sarung kaki, tika dia mula melabuhkan tudungnya. Mereka berkata Siti Khadijah mencuba untuk menjadi ustazah. Tika itu Siti Khadijah masih terkial-kial mencari pakaian yang sesuai untuk menutupi auratnya dan kebarangkalian cara berpakaiannya tidak kena pada pandangan mereka. Sesekali Siti Khadijah jauh hati juga dengan kata-kata mereka namun dia tetapkan hati.
Bukan kerana mereka Siti Khadijah menutup aurat!
Siti Khadijah mengesat air mata yang mulai bertakung di tubir matanya.
“ Ukhuwah fillah ya ukhti,” tutur Amna sambil memeluk Siti Khadijah. Air mata Siti Khadijah kian mengalir deras. Kristal jernih itu tidak mampu ditahan lagi. Tersedu-sedu Siti Khadijah menangis di dalam pelukan Amna.
Siti Khadijah sentiasa tulus berdoa, semoga Allah SWT sentiasa melorongkannya ke jalan yang lurus. Seiring doa, Allah mudahkan jalannya. Digantikan pula rakan- rakan lama dengan sahabat- sahabat baru yang sentiasa mendorongnya untuk lebih taat kepada Allah SWT. Mudah rasanya hidup bersyariat.
Dia seperti berada di puncak kebebasan walaupun mata manusia yang memandang muslimah sepertinya ibarat terpenjara dek arus fesyen dunia. Terlalu kolot! Mungkin pada pandangan mereka menutupi aurat dengan berpakaian labuh dan longgar sudah sepatutnya ditinggalkan jauh namun hanya hati yang merasai manisnya iman tidak berpandangan sedemikian. Biarlah bertutup sempurna, hakikatnya hati terasa damai di dalam dakapan redha Allah SWT.
Mei 2013…
Saat Siti Khadijah mahu melangkah pulang dari tempat kerjanya, kedengaran namanya disahut daripada belakang.
Siti Khadijah menoleh ke arah suara itu.
“Oh kau Zayid. Ada apa panggil aku?”
Kelihatan Zayid tercungap- cungap menahan nafas. Penat benar lakunya Si Zayid menyaingi langkah Siti Khadijah.
“ Tak ada benda serius pun. Aku nak kau baca ni. Ambil la baca dulu,” ujar Zayid sambil menyuakan risalah itu kepada Siti Khadijah.
“ Risalah apa ni Zayid?” Kehairanan Siti Khadijah. Risalah kini bertukar tangan.
“ Kau baca la ye. Aku balik office dulu,” tergesa- gesa Zayid melangkah pergi tanpa sempat menerangkan apakah isi kandungan risalah itu  kepadanya.
Termangu-mangu Siti Khadijah. Hasrat untuk pulang kini terbantut.
Risalah yang sudah bertukar tangan dipandangnya lesu.
Siti Khadijah menyelak helaian demi helaian. Terlalu banyak risalah mengenai parti-parti politik yang bertanding di pilihan raya hadir menjengah saat ini. Masing-masing cuba mengangkat bahawa merekalah yang paling gah menjuangkan nasib bangsa dan agama dengan slogan yang pelbagai namun hakikatnya sesetengah daripada mereka hanya indah khabar dari rupa sahaja. Semakin dibaca semakin Siti Khadijah merasakan ada yang tidak kena pada risalah itu. Risalah itu ditutup cermat. Segera, matanya mencari Zayid. Dia ingin memulangkan risalah itu kepada Zayid kembali.
“Nah risalah ni Zayid. Tak nak la aku baca dah,” ujar Siti Khadijah sambil tangannya menghulurkan kembali risalah itu kepada Zayid.
Risalah itu kembali bertukar tangan.
“ Mana kau dapat risalah ni?” soal Siti Khadijah ingin tahu.
“ Aku dapat risalah ni masa sembahyang Jumaat tadi. Saja nak bagi kau baca. Nak tahu apa reaksi kau,” Zayid menerangkan.
“ Selamanya aku pilih Islam, Zayid,” tutur Siti Khadijah cuba menamatkan bicara.
“ Alhamdulillah,” Zayid melafazkan syukur tika mendengarkan butir bicara Siti Khadijah itu.
Zayid memandang kosong melihat Siti Khadijah melangkah pergi. Mukanya diraup perlahan. Saat itu, detik hatinya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
“ Siti Khadijah..bukan aku insan terbaik untuk menjadi pengemudi bahteramu  namun ya Allah, jika benar dia untukku, semoga dimudahkan segalanya”